Demo Site

Saturday, July 3, 2010

EVA: Beginning

EVA: Permulaan
Benci.. satu patah perkataan yang meluahkan segala apa yang terpendam dalam hatiku ini. Aku bencikan mereka. Apa yang telah lakukan kepada diriku, tidak akan sekalipun aku akan maafkan. Aku telah diperlakukan sebagai satu tikus makmal. Badan aku telah disuntik dan dimasukkan dengan berbagai jenis ubatan yang merbahaya. Tujuannya satu: mencipta askar yang sempurna!
    Asalnya aku cuma seorang gadis yang berjaya dalam akademik, aku memilki keluarga yang penyayang, adik lelaki yang menjadikan diriku sebagai pemangkin semangat untuk meneruskan pembelajaran di menara gading.. namun… namun.. MEREKA merampas segala-galanya daripada aku!
    Malam itu ku ingatkan seperti malam-malam yang sebelumnya, kami semua duduk menonton televisyen: papaku telah muncul di dalam satu program rancangan disebabkan kejayaannya melengkapkan teknologi nano yang boleh membantu dalam bidang perubatan. Kami semua berbangga dengan papa. Dan ketika itu, mereka muncul!
    Rumah kami tiba-tiba diselubungi kegelapan. Bekalan elektrik terputus. Papaku mencapai telefon rumah, cuba mendail ‘security’ rumah namun tiada bunyi. Pintu rumahku dipecahkan dari luar. Mama menjerit ketakutan dan melarikan diri. Tidak sempat dia lari dari ruang tamu, badannya ditembusi berpuluh-puluh butir peluru, jatuh ke lantai, tidak bergerak. Badan mama dilumuri oleh darah pekat yang mengalir daripada tubuhnya. Papa, adik dan aku hanya mampu melihat kejadian itu berlaku di hadapan mata kami. Papa dengan tangisan yang bergelung di mata pantas menarik tangan adik dan aku, meluru ke bilik bawah tanah. Adik sudah menangis memanggil mama.
    Aku yang memegang tangan adik erat , cuba menenangkannya: mengatakan semuanya akan elok apabila satu letupan berlaku berhampiran dengan aku. Aku terpelanting ke jauh kehadapan. Kepalaku pening dan aku memanggil nama adik. Namun, aku kehilangan kata-kata, apabila aku melihat tanganku hanya memegang tangan adik yang sudah terpisah daripada badannya. Darah adik terpalit di wajahku. Jauh dariku, anggota badan adikku yang lain tidak lagi bergerak. Matanya tidak terkatup. Darah mengalir dari mulutnya. Aku hanya mampu menjerit, dan mencapai badannya yang sudah kaku, memeluk erat.


    Derapan tapak kasut menghampri tempat aku. Diselubungi dengan nafsu amarah, aku mencapai sebilah nodachi pemberian rakanku yang di Jepun lalu meluru kearah mereka. Cuba untuk menembak aku, ku melibaskan nodachi melakukan gerakan kenjutsu yang kupelajari dari sekolah setelah menyertai kelab kendo. Kesemua orang yang lengkap bersenjata itu jatuh gugur di lantai. Badanku dipenuhi darah. Aku menderam bagaikan ibu harimau yang kehilangan anak, mecari mangsa. Hanya dendam memenuhi hatiku, tidak lagi memikirkan apa yang bakal ku hadapi selepas ini. Aku hanya ingin memenggal kepala setiap orang yang menceroboh rumahku.
    Aku mencari papa yang menarik perhatian pembunuh-pembunuh ini supaya aku dan adikku selamat. Dia dikelilingi oleh pembunuh-pembunuh itu, memberi nota kajiannya kepada seorang lelaki yang merupakan ketua disitu. Papa merayu supaya membenarkan aku dan adikku tidak disakiti. Lelaki tersebut yang mendiamkan diri kemudiannya ketawa terbahak-bahak, dia mencapai sebuah pistol automatik dan menembak peha papa. Papa memegang erat pehanya dan meronta kesakitan.
    Aku yang kehilangan sabar, meluru kearah mereka, mengelak dan membunuh mereka yang berada disitu. Namun, tumpuan aku berkalih apabila tangan kananku yang tidak memegang pegang putus, ditembak dengan selaras shotgun. Bahu kanan yang sudah kehilangan lengan itu memancutkan darah. Namun, pantas aku mengerahkan adrenalin menghilangkan kesakitan. Melakukan jurus kenjutsu, kesemua pembunuh sudah mati kecuali lelaki yang menembak peha papaku. Dia memandang aku, dengan air muka yang ketakutan, dia melepaskan beberapa das tembakan namun aku Berjaya menepis, dengan hanya lima langkah dan beberapa libasan, tangan lelaki itu terputus. Aku tidak membazirkan masa memenggal kepala lelaki tersebut. Badannya terbongkok tanpa kepala.
    Aku berlari kearah papa dan memeluknya erat. Mukaku sudah mula pucat kerana kehilangan banyak darah. Adrenalin sudah hilang kesan, dan aku sudah mula merasa kesakitan. Papa bangun dan memapah aku, cuba membawa pergi dari sini. Air matanya sudah mengalir deras apabila mengetahui adik sudah mati. Kami melangkah dari situ perlahan-lahan. Tangan kiriku menutup darah yang mengalir dari bahu kanan apabila: tiga das tembakan kedengaran. Mulutku memuntahkan darah. Aku jatuh memandang langit. Papa mendapatkan tubuhku. Tangan kanannya mencapai sesuatu dari dalam poket seluarnya. Satu jarum suntikan yang besar yang mempunyai cecair perak metalik disuntik dalam tubuh aku. Papa membisikkan sesuatu.
    “ Arina, ini sahaja yang papa mampu berikan kepada kamu. Ini akan menyelamatkan kamu. Papa minta maaf.” Penglihatanku sudah pudar dan semakin gelap. Aku fikir ajalku sudah tiba. Dan satu das tembakan kedengaran. Badanku dihempap oleh kufikirkan kepala papa, satu cecair panas mengalir dari kepala papa.
    Pa..pa… ma...ma…adik!
    Kufikirkan kami sekeluarga telah mati, dan ternyata aku sudah silap. Adik, mama, dan papa telah meninggalkan aku terlebih dahulu. Ketika aku membuka mata, aku memikirkan aku sudah berada di syurga namun aku berada di neraka dunia yang penuh penyeksaan. Aku pelik, mengapa aku masih lagi hidup, sepatutnya dengan kecederaan sebegitu, aku sudah patut mati namun aku masih lagi hidup. Aku melihat beberapa orang berpakaian putih, memandang aku dan menulis sesuatu di atas notepad. Badanku terasa sejuk, tiada sehelai benang pun melekat di tubuhku, airmata aku mengalir: ini merupakan satu penghinaan besar terhadap diriku. Namun aku menerima kejutan yang lebih besar apabila melihat bahu kananku telah dipasang tangan artificial. Aku cuba meronta namun gagal. Orang-orang yang memakai kot putih itu menelefon sesuatu, dan badanku terasa kejutan elektrik dan sekali lagi aku pengsan.
    Berapa lama benda ini berterusan sehingga aku sudah hilang punca untuk hidup. Aku   bagaikan mayat yang hidup, sudah arah tujuan sekadar eksperimen bagi memenuhi nafsu sains dan teknologi. Beberapa anggota badanku telah diganti dengan anggota badan palsu seperti tangan dan kaki kanan mekanikal artificial dan jantung mekanikal.
    Malam ini, mereka telah membawa aku ke sebuah bilik. Ingin aku meronta namun, otak aku telah dipasang dengan chip yang membataskan pergerakan aku. Deria sakit aku juga telah hilang disebabkan modifikasi yang dilakukan mereka. Setelah sampai, aku diikat diatas kerusi, tidak seperti dahulu, aku telah diberi baju dan seluar yang berwarna hitam.
    Otakku telah diberi arahan supaya tidak melawan. Namun apa yang muncul di hadapan aku membuatkan aku terketar-ketar. Mulutku tergerak-gerak cuba untuk bercakap.
    “ Pa…pa! Pa…pa!” perlahan ku sebutkan. Airmataku mengalir namun aku tidak mampu membuat reaksi muka.
    Papaku jatuh melutut di hadapan aku. Dia segera memeluk aku. Meminta maaf sambil menangis, dia mengusap-usap rambutku yang semakin panjang dan berbau, ingin sahaja aku peluk tapi tidak dapat aku berbuat apa-apa. Papa ditarik dan ditampar keras dan dimaki. Amarah mula menguasai diriku apabila melihat papa dilakukan sebegitu. Sekali lagi aku cuba melepaskan diri namun mata kananku asyik mengeluarkan skrin mengatakan ‘ action unable to perform’. Mataku telah ditutup dengan cermin mata khas. Skrin yang muncul di mata kananku hilang dan muncul di atas kanta cermin mata tersebut. Terdapat berbagai jenis huruf dan nombor muncul. Seorang perempuan berkot putih memberi arahan kepada aku supaya mencapai selaras senapang prototype yang direka khas untuk aku dan menyuruh aku menembak beberapa sasaran di dalam bilik itu. Senjata itu agak berat namun aku mampu mengangkatnya, tanpa sebarang bantahan, aku menembak patung-patung yang dijadikan sasaran. Mereka menepuk tangan, bangga kerana aku telah menjadi satu senjata yang menakutkan, cukup untuk menghancurkan apa sahaja yang berada di hadapan aku. Tanpa mengenal erti sakit sehingga kepala aku terputus dari binatang. Aku hanya mampu menyumpah mereka dalam hatiku sahaja. Kalau aku boleh mengawal tubuh badan ini. Sudah tentu aku akan menembak kepala mereka semua dan menyelamatkan papa.
    “ Jadi.. untuk menentukan bahawa EVA-01 ini betul-betul berjaya. Chairman telah mengeluarkan arahan.” Papa yang terpinga-pinga ditangkap dan di bawa kebilik lapang sasaran dan dibiarkan depan aku. Aku terkejut, cuba memberi arahan kepada otak aku untuk melepaskan senjata tersebut. Sekali lagi airmataku tumpah tanpa memberi reaksi muka. Papa memandang aku dengan satu senyuman manis. Dia membersihkan diri dan berdiri tegak di hadapan aku tanpa melarikan diri.
    “ Tidak! Tidak!” Hatiku memberontak. Airmata mengalir tanpa ditahan.
    “ EVA-01! Hapuskan target di hadapan sekarang!” tanpa segulit perasaan bersalah mereka hanya tersenyum. Ingin melihat hasil, setelah apa yang mereka abdikan selama ini.
    Jariku sudah berada dipicu hanya menunggu untuk ditarik apabila. Aku merasakan sesuatu dalam badanku bergerak. Adakah ini nanomachine yang direka oleh papa?
    Nanomachine yang disuntik papa segera menjalankan kerja mereka. Tiba-tiba sahaja menjadi aktif dan bekerja di dalam sel badan ku. Nanomachine bergerak pantas ke otak dan menghancurkan chip yang berada di otak aku, menukar kepingan chip itu sendiri kepada nanomachine-nanomachine yang kecil.
    Mereka yang berada dibilik pemerhati terkejut melihat aku tidak menekan picu, keras dan tidak bergerak. Masing-masing menjadi pelik. Perempuan tadi memberi semula arahan. Dia kemudiannya memaki-maki aku. Tiba-tiba cermin yang menjadi pemisah bilik itu dan bilik lapang sasaran hancur. Perempuan itu terpelanting ke belakang. Satu lubang yang besar terhasil di kawasan jantungnya, kesan seperti terbakar dan perempuan itu mati dengan mata terbeliak. Penyelidik- penyelidik lain memandang aku dengan muka yang takut. Mereka cuba melarikan diri apabila aku menembak mereka satu persatu.
    “ Arina, jangan! Ingat kembali siapa kamu. Jangan jadi seperti mereka.” Papa memegang kepala aku sambil memujuk aku. Kali ini aku mampu memperlihatkan reaksi wajah. Aku menangis dan memeluk papa sekuat hati. Papa meleraikan pelukan lalu memberitahu aku supaya kami berdua melarikan diri. Aku hanya menurut kehendak papa. Kami berdua melarikan diri. Papa lebih mengetahui kawasan ini lebih elok daripada aku. Papa sempat memberitahu aku bahawa nanomachine yang dihasilkan adalah untuk merawat penyakit kanser serta penyakit-penyakit lain yang sukar untuk dikesan. Namun jika dimasukkan kadar yang banyak, ia mampu melakukan perkara-perkara lain seperti memberi kekuatan yang luarbiasa dengan nanomachine yang dibiarkan untuk tempoh masa yang lama. Nanomachine akan menguatkan setiap sel di dalam badan. Dalam kes aku pula, nanomachine telah bertambah jumlah cukup untuk memberikan kekuatan sebegitu dan ada kebaikan yang lain.
    Papa dan aku telah sampai di bilik kurungan papa. Dia mencapai nodachi yang ku gunakan ketika peristiwa hitam itu dan mengambil beberapa barangan lain lalu kami melarikan diri. Askar upahan telah dapat mengejar kami. Papa menyuruh aku untuk meninggalkannya namun aku mendapat satu idea lalu mendukung papa. Mengerahkan nanomachine untuk memberi kekuatan pada anggota badan. Aku melompat tinggi dan jauh melepasi askar upahan. Kami sampai di satu kawasan yang mempunyai banyak tangki silinder. Papa cakap kami sudah hampir ke jalan keluar. Aku dan dia tersenyum apabila dada aku ditembusi peluru. Kami berdua tersungkur. Terdapat banyak orang dilengkapi senjata mengelilingi kami. Aku masih lagi tersungkur ketika papa berdiri dan mengambil nodachi aku lalu cuba membunuh mereka. Namun dia ditembak melebihi 100 das tembakan di setiap badannya. Aku hanya mampu memerhatikan, dia tersenyum dan jatuh ketanah dengan mata tertutup.
    Aku berdiri dan menghampirinya. Senjata prototype dan nodachi aku genggam erat. Mereka melepaskan tembakan sehingga kehabisan peluru. Mereka terkejut, aku masih lagi berdiri dan semakin mengejutkan mereka apabila peluru-peluru yang mereka lepaskan keluar daripada luka yang tidak berdarah dan luka-luka tersebut hilang. Nanomachine dalam badan aku telah mempercepatkan kadar pemulihan sel berjuta kali ganda. Masing-masing cuba tukar kelopak peluru apabila aku menyerang mereka tanpa sebarang belas kasihan. Jurus kenjutsu yang kupraktikkan menjadi semakin mantap dengan bantuan nanomachine dan tangan kanan artificial ini. Ketepatan tembakan tidak pernah kena tempat lain selain kepala dan jantung disebabkan bantuan mata kanan artificial. Ya, terima kasih kepada mereka kerana menukarkan aku menjadi sebegini namun mereka semua akan menerima padah.
    Aku pasti pasti ada banyak lagi askar-askar ini. Jadi aku mengambil keputusan drastik. Aku pasti dalam 20 tangki silinder pasti minyak dan bahan-bahan mudah terbakar. Aku melompat tinggi dan menekan picu untuk masa yang agak lama. Cahaya partikel terkumpul di muncung senjata dan aku melepaskan picu. Satu letupan yang besar berlaku.
………………
    Hujan lebat membasahi kawasan hutan memadam kebakaran yang berlaku di situ. Aku masih lagi hidup dan papa sempat berpesan kepadaku sebelum mati. Gunakan abiliti yang dimiliki kamu untuk kebaikan, jangan sekali-kali gunakan untuk tujuan jahat. Aku menggenggam erat nodachi pemberian papa. Ya papa! Saya akan gunakan untuk keadilan diri saya dan orang lain. Menghancurkan organisasi yang mempergunakan manusia yang tidak bersalah seperti saya dan membawa mereka ke muka pengadilan.
    Aku meninggalkan kawasan tersebut apabila telinga ku dapat menangkap bunyi siren yang jauh dari sini.

SEBULAN BERLALU, di Bandar Kuala Lumpur.
    Seorang perempuan melarikan diri ke lorong-lorong sempit di Jalan Chow Kitt namun dia terperangkap. Jalan yang dilaluinya adalah jalan mati. Tiga orang lelaki menghampiri dia dengan muka yang penuh dengan perasaan yang menjijikan. Perempuan itu menjerit ketakutan meminta tolong. Salah seorang daripada lelaki tersebut menekup mulut perempuan itu lalu memaki hamunnya. Rakan-rakan dia cuba menanggalkan pakaian perempuan itu apabila lelaki yang menekup mulut perempuan itu dihumban ke belakang. Dua lagi rakannya memandang ke belakang, mereka melihat seorang perempuan berjaket hitam labuh ke kaki menyuruh mereka meninggalkan perempuan itu. Namun mereka mengendahkan nasihat perempuan itu dan menerima padah.
  Tanpa menggunakan senjata perempuan berjaket labuh itu menewaskan mereka dengan hanya 5 langkah sahaja. Lelaki yang terhumban kebelakang tadi cuba menyerang perempuan itu dari belakang namun dia segera mematikan langkah apabila hujung sebilah nodachi yang belum dikeluarkan dari sarungnya sampai dilehernya menekan halkum lelaki itu. Ketiga-tiga lelaki itu melarikan diri.
    “ Terima kasih banyak-banyak. Saya tak tahu bagaimana nak membalas budi awak.” Perempuan yang hampir dirogol tadi menyapa perempuan berjaket labuh tadi.
    “ Senang sahaja. Jangan berjalan seorang diri lagi-lagi waktu malam sebegini” balas perempuan itu ringkas.
    “ Err, ok. Tapi, siapa nama awak?” Perempuan berjaket labuh itu menarik rambutnya berwarna hitam berkilat dari jaketnya sambil menjawap.
    “ Panggil saya EVA.” Jawapnya dan melompat ke atas bangunan Chow Kitt yang tinggi itu sekali sahaja, meninggalkan perempuan tadi terpinga-pinga. Berlari-lari di atas bangunan-bangunan Kuala Lumpur.
    Mulai dari hari itu, tersebar khabar angin pasal seorang perempuan yang cantik, berambut panjang mengurai, berpakaian serba hitam, berjaket labuh. Dilengkapi dengan senapang dan pedang samurai melindungi orang Bandar Kuala Lumpur daripada segala bentuk kejahatan tidak kira masa. Dan jika malam itu bulan purnama penuh, orang dapat melihat dia melompat-lompat dari satu bangunan ke satu bangunan lain. Dia adalah EVA!  
             

   

0 comments: