L |
embut dan panas namun penuh dengan perasaan kasih sayang. Itu sahaja yang dapat dapat Takuya gambarkan apabila melihat perempuan yang selalu muncul dalam mimpinya itu mengusap manja rambut seorang lelaki yang sedang berbaring di riba perempuan tersebut. Lelaki itu sedang enak dibuai mimpi indah tidak menyedari perbuatan perempuan itu, pipi perempuan yang putih mejadi sedikit kemerahan. Takuya dapat mengagak bahawa perempuan itu malu melakukan perbuatan itu, tapi mungkin rasa sayang perempuan itu membuatkan dia berani. Dia ketawa kecil apabila melihat sesuatu pada wajah lelaki itu, Takuya tidak dapat meneka bagaimana wajah lelaki itu ketika dia sedang tidur, kerana wajah lelaki itu membelakangi Takuya.
Melihat perbuatan perempuan itu membuatkan hati Takuya sedikit terguris, dia sendiri tidak mengerti, mengapa harus dia cemburu dengan lelaki yang sedang berbaring itu. Walaupun dirinya tidak mengenali perempuan itu, tetapi jiwanya menyatakan sebaliknya. Malah jiwa itu menjerit dan meraung, agar Takuya menarik lelaki itu dari perempuan. Sekaligus, memisahkan mereka dan menjadikan perempuan itu teman hidupnya.
“ Tidak.” Satu kata yang ringkas dan tenang dikeluarkan oleh Takuya.
“ Aku tidak boleh merampas kebahagian orang lain. Setiap orang mempunyai pasangan mereka sendiri. Setiap satu telah diciptakan dengan pasangan mereka. Aku tak ada hak untuk memisahkan sesiapa, itu hak mereka.”
Betul, walaupun memisahkan mereka namun jika perempuan itu tidak bahagia disisinya, apa gunanya? Takuya cuma inginkan cinta sejati yang boleh dibawa sehingga mati. Banyak pasangan yang kononnya hangat bercinta sebelum berkahwin, tapi kemana perginya cinta itu setelah melangsungkan perkahwinan? Dibuang ke tepi, dan tidak bahagia dan akhirnya bercerai. Takuya tidak inginkan cinta sebegitu. Bukannya cinta sekadar ayat-ayat manis yang mampu mencairkan hati seorang perempuan, namun cinta yang datang ikhlas daripada hati. Itu sahaja dan tidak lebih daripada itu.
Takuya menarik nafas panjang, dia berjaya melawan perasaan itu, dan dibuangkan jauh-jauh ke lubuk hati. Dia tersenyum melihat pasangan tersebut. Kehadiran Takuya disitu cuma seperti bayangan. Tidak dapat dilihat oleh pasangan tersebut. Biarkan sahaja, kalau dia dapat dilihat pasti akan merosakkan suasana romantis pasangan itu.
Dia memerhatikan keadaan disekilingnya, dia berada satu kawasan lereng bukit yang mempunyai pemandangan yang hijau. Udara di situ cukup nyaman. Sejuk yang tidak seberapa dingin namun menyegarkan. Pasti mereka masih berada di negara Auru lagi. Setelah dapat mencari kawasan yang agak jauh dari situ, Takuya melangkah pergi. Dia tahu ini hanyalah mimpi dan mimpi ini menjadi semakin menyakitkan apabila dia melihat perempuan itu sudah mempunyai kekasih hati. Harapan Takuya hanyalah satu ketika itu, dia tidak mahu bermimpi tentang perempuan itu lagi.
Tidak sampai dua, tiga langkah. Takuya terganggu dengan bunyi orang sedang mengeliat. Dia dapat meneka bahawa lelaki itu sudah tersedar. Dia kembali mengatur langkah kemas ke arah kawasan yang dicari.
“ Minta maaf, Aya. Saya tertidur.”
Berhenti, segala-galanya berhenti termasuk Takuya sendiri. Suara lelaki itu membuatkan dia berhenti melangkah, kerana Takuya amat mengenali suara lelaki itu. Tidak mungkin dia silap dengar.
“ Tak pe, Taku. Bukan selalu saya dapat lihat awak tidur lena macam tu.”
Gerak hati Takuya memang sentiasa betul dan dengan nama panggilan tadi semakin menguatkan firasatnya mengenai suara lelaki itu. Dia memaling ke belakang untuk memastikan perkara itu.
Tersentap tangkai jantung Takuya apabila dia melihat wajah lelaki itu. Dia betul-betul terkejut. Lelaki itu adalah dia, Takuya Himura sendiri. Mustahil tapi itulah yang terjadi.
“ Aya, hari dah nak senja. Lebih baik kalau kita balik sekarang. Kalau tak, penat saya nak menjawab dengan ayah awak.”
Diri Takuya yang lagi satu itu bersuara sekali lagi, diikuti dengan gelakan kecil Aya. Perempuan itu kelihatan lebih comel apabila ketawa. Diri Takuya yang lagi satu itu sekadar tersenyum. Dia berjalan terlebih dahulu. Tanpa segan silu, perempuan yang bernama Aya merangkul lengan kanan Takuya dan turut berjalan Takuya. Kedua-dua Takuya menjadi malu sendirian. Muka mereka berdua menjadi merah.
Takuya gelak besar apabila melihat pasangan itu. Namun, dia juga berasa malu kerana cemburu akan dirinya sendiri. Dia menggelengkan kepala, hatinya juga sedikit terubat.
“ Jadi, nama perempuan itu adalah Aya. Nama yang cukup sepadan dengan dirinya. Tapi siapa sebenarnya diriku dan siapa pula kamu? Kenapa aku mengalami mimpi-mimpi sebegini. Mengapa?”
Otak Takuya sedang ligat memikirkan jawapan. Dia menganalisis segala kemungkinan yang pasti dan akhirnya mendapat satu konklusi. Ini adalah masa silamnya yang dia terlupa. Ya! Dia begitu pasti, segala mimpi yang dia alami adalah satu imbasan memori yang begitu penting. Tapi, bagaimana dengan perempuan yang duduk diatas monumen itu? Otaknya digiatkan lagi mencari jawapan yang lebih pasti.
“ Itu bukan mimpi. Tapi, satu dimensi yang berlainan, perempuan itu bera...da..”
Sakit kepala Takuya datang secara tiba-tiba tanpa dijemput. Dia memegang kepalanya menunjukkan kesakitan yang dia alami. Lebih memedihkan lagi apabila Takuya mendengar satu bunyi frekuensi yang begitu nyaring. Airmata Takuya mula bergenang di kelopak mata. Perempuan yang bernama Aya dan dirinya yang lagi satu meretak dan pecah menjadi serpihan kaca yang halus. Pandangannya mula kabur, Takuya jatuh melutut ke tanah. Kepalanya bagaikan ingin meletup.
“ Takuya!” suara perempuan yang mulanya begitu halus menjadi semakin kuat. Matanya tertutup. Hitam gelap.
Tangisan. Itu yang ditangkap oleh telinga Takuya. Tangisan lembut seorang perempuan. Begitu sayu sehingga menusuk kalbu. Titisan airmata menitis ke atas muka Takuya, membuatkan Takuya sedar bahawa nyawanya masih panjang. Dia mengarahkan matanya agar terbuka walaupun terkatup-katup. Pandangan yang kabur semakin jelas. Perempuan yang muncul dalam mimpinya tadi menutup mukanya, menyembunyikan tangisan. Tangan Takuya bergerak secara tiba-tiba mungkin kerana tidak mahu merisaukan lagi perempuan itu ataupun sekadar ingin mengurangkan sedu perempuan itu. Mengusap rambut Aya yang berwarna hitam keperangan yang bersinar-sinar itu. Tangisannya terhenti, dia mengalihkan tangannya dari mukanya itu. Cantik, comel dan keayuan wajah perempuan itu membuatkan Takuya sedikit terkedu.
“ Tolong berhenti menangis, seorang perempuan yang menangis di hadapan seorang lelaki boleh membuatkan hati lelaki itu juga berasa gundah, Aya.”
“ Taku...” Takuya sekadar tersenyum. Aya mula menguntumkan senyuman.
“ Takuya..... Wahhh...” Aya kembali menangis, namun tangisan kali ini merupakan tangisan kegembiraan. Aya mula memeluk lelaki dihadapannya itu. Tiada segan silu, rindunya kepada lelaki di hadapannya itu melebihi tujuh lautan. Aya dan Takuya terbaring di atas permukaan bunga merah jambu. Kelopak-kelopak bunga itu berterbangan menghasilkan suasana romantik kepada pasangan itu. Takuya segan apabila Aya masih lagi memeluk dirinya ketika dia terbaring. Dia menolak badan Aya kebelakang. Airmata yang bertakung di mata Aya segera dikesat oleh Takuya. Dia menggerakkan tangannya tanpa berfikir panjang, tiba-tiba dia menyedari perbuatannya yang agak memalukan itu. Muka Aya menjadi kemerah-merahan.
Malu dengan tindakan mereka, mereka duduk berpusing berlawanan antara satu sama lain. Cuba untuk memikirkan ayat yang sesuai untuk dituturkan.
“ Lama...” Aya mengambil langkah pertama
“ Lama?” Takuya cuma memalingkan mukanya kebelakang
“ Maksud saya, dah lama kita berjumpa bersemuka sebegini, kan?”
Mendengar kata-kata Aya membuat Takuya terdiam, dia tidak pasti apa yang harus dijawab. Kehilangan memori membuatkan dia tertanya-tanya tentang dirinya dan Aya sendiri.
“ Maaf, saya tak tahu bagaimana nak menjawab soalan itu, Aya. Saya....” tidak sempat dia menghabiskan ayatnya, Aya memeluknya daripada belakang, membuat Takuya kehilangan kata-kata. Pelukan yang penuh dengan kasih sayang itu dapat dirasai oleh Takuya
“ Saya tahu, Takuya. Saya tahu awak hilang ingatan. 4 tahun dahulu ketika awak bangun daripada pod tidur dulu.” Kata Aya dengan penuh perasaan.
“ Pod tidur?” Takuya tertanya-tanya.
“ Aya, apa benda pod tidur itu? Macam mana awak mengetahui yang saya hilang ingatan?” Pelukan Aya segera dileraikan. Takuya memandang tepat ke wajah Aya, mengharapkan jawapan yang selama ini dia cari.
Aya Cuma mendiamkan diri. Dia bangkit dari kawasan bunga-bungaan itu lalu memandang kearah bulan purnama yang melimpahkan sinaran cahaya ke atas monumen yang menjadi tempat yang selalu dia duduk.
“ Takuya, buat sementara waktu ini saya tak boleh beritahu awak. Itu semua harus awak cari sendiri tanpa bantuan saya, ataupun sesiapa.”
“ Jadi, tak mengapa. Cuma... saya ingin tahu satu perkara sahaja.” Takuya mengambil masa yang agak panjang untuk menanyakan soalan itu.
“ Siapa nama awak yang sebenarnya?”
Kerana soalan itu agak pelik bagi Aya, dia tidak dapat menahan rasa geli hati dan ketawa. Takuya yang berada di depan mata dibiarkan malu. Muka Takuya menunjukkan airmuka yang agak segan namun dia terpaksa menahan malu.
“ Tolong jangan gelak macam tu, awak buat saya betul-betul segan.” Kepala Takuya sengaja digaru. Mungkin sekadar melepaskan perasaan itu.
Selang beberapa saat, Aya berhenti ketawa. Dia mengesat airmata yang terkeluar disebabkan geli hati dengan soalan Takuya tadi.
“ Baiklah soalan itu akan saya jawab, memandangkan masa awak pun hampir tiba.” Aya menjawab sambil memandang semula kearah monumen yang dilimpahi sinaran bulan purnama.
“ Huh? Masa saya hampir tiba? Apa....” Lutut Takuya terasa lenguh. Sakit pun ada. Kepalanya pening semula.
“ Taku, tolong ingat ya. Nama saya Aya Reina. Jika awak ingin berjumpa dengan saya, cari tempat dimana cahaya bulan purnama selalu menerangi bunga-bungaan yang indah.”
Sejurus sahaja Aya menghabiskan kata-katanya, badan Takuya mula menjadi seperti asap, hilang mengikuti tiupan sang bayu. Namun Takuya sempat memanggil nama Aya walaupun dirinya terasa lemah.
“ Ingat Taku. Saya sentiasa menanti awak disitu dan tidak akan kemana-mana tanpa dirimu disisiku.” Setitis air mata tumpah ke tanah sebaik sahaja Aya menghabiskan kata-katanya.
Kata-kata yang membawa maksud yang begitu mendalam, hanya datang daripada seorang perindu. Perindu yang begitu mencintai orang yang dia sayangi.
0 comments:
Post a Comment