|
5 Centimeters Per Second |
Tubuhku sering meggeletar malah dada terasa berdebar apabila melihat gadis itu menjelma di depan mata. Dia sering datang berkunjung ke kedai buku yang menjadi tempat kerja separuh masa aku. Gadis tersebut akan datang membeli atau menyewa buku pada hari minggu.
Pada mulanya, aku tidak menaruh apa-apa harapan terhadap gadis itu, namun semakin lama, semakin hari, aku mula jatuh hati padanya. Aku masih ingat lagi pada pertemuan pertama aku dan dia, dia berpakaian kemeja berkotak besar berwarna merah, berseluar jeans biru muda yang lusuh, dengan cermin mata bulat berbingkai hitam berfesyen 70’an membuatkan dia kelihatan seorang ‘nerd’. Namun aku merasakan gadis itu menyembunyikan raut wajahnya yang cantik. Ketika itu aku sedang menjaga kaunter. Aku bersikap bersahaja dan dia pula kelihatan resah menanti aku menguruskan buku yang ingin dia pinjam. Kemudian gadis itu, melarikan diri selepas aku menyelesaikan urusan tersebut.
|
5 Centimeters Per Second |
Minggu depannya, gadis tersebut kembali semula ke kedai buku, namun dia mempunyai perubahan besar, tidak lagi bercermin mata dan… rambutnya, tidak lagi diikat gaya ponytail namun cara pemakaiannya masih sama. Dia membawa dua judul novel berbeza: ‘Twilight Saga’ dan ‘Ombak Rindu’ untuk disewa. Dia menghulurkan novel tersebut pada aku yang menjaga kaunter penyewaan sekali lagi namun aku ketandusan kata kerana lidah aku rasa kelu secara tiba-tiba. Tidak berani bertentang mata kerana wajah gadis itu begitu ayu dan cantik membuatkan aku bertambah malu dan gelisah. Aku menghulurkan kedua-dua judul novel itu kembali pada gadis itu. Dia tersenyum dan mengucapkan terima kasih lalu beredar.